Assalamualaikum

Thursday, 1 December 2011


PERIBAHASA
Hampir setiap bangsa mempunyai peribahasa dan peribahasa sesuatu bangsa itu dapat mencerminkan bangsa tersebut. Peribahasa merupakan susunan kata-kata yang teratur, sedap didengar, dan cukup bermakna. Peribahasa digunakan orang sebagai kiasan, teladan, dan pengajaran. Peribahasa terbahagi kepada beberapa jenis seperti:
Ø  Simpulan bahasa
§  Perumpamaan
 Ø  Bandingan semacam
 §  Pepatah
 Ø  Bidalan
 §  Kata-kata hikmat

Simpulan bahasa

Simpulan bahasa merupakan bentuk peribahasa yang paling mudah.
Peribahasa terdiri daripada dua patah kata yang membawa maksud tepat dan
padat. Beberapa contoh simpulan bahasa adalah seperti berikut :

v  Adu domba   
Menyebabkan dua belah pihak berkelahi.

v  Atas angin
Mendapat keuntungan tanpa kerja kuat / negara-negara sebelah barat.

v  Balik gagang
Belot / berpihak kepada musuh.

v  Buah pena
Hasil tulisan.

v  Cacing kepanasan.
Gelisah / tidak tenteram.

v  Duit kopi
Upah selepas melakukan sesuatu kerja.


v  Emas urai
Emas yang berbutir-butir

v  Halwa telinga
Irama muzik yang indah.

v  Intan terpilih
Orang yang sangat istimewa.

v  Jinak merpati
Manja tetapi tidak dapat diperdaya.

v  Ketam batu
Sangat kedekut.

v  Paku belanda
Harga tetap.

v  Patah arang
Tidak boleh berbaik semula.

v  Teluk rantau
Daerah di sekeliling.

v  Wang hangus
Wang belanja daripada pihak lelaki kepada keluarga bakal isteri.

Perumpamaan

Perumpamaan ialah susunan kata-kata yang indah, ringkas serta mempunyai maksud yang tersirat.  Perumpamaan dimulai dengan kata seperti, bagai,  laksana dan umpama. Contoh perumpamaan serta maksudnya :

Bagai enau dalam belukar
Mementingkan diri sendiri.

- Bagai isi dengan kuku
Hubungan yang erat.

Seperti api dalam sekam
Sesuatu perbuatan jahat yang tidak kelihatan dan tidak diketahui orang.

- Bagai pungguk rindukan bulan
Keadaan orang yang merindukan sesuatu atau seseorang yang sangat diharapkannya tetapi tidak akan didapati atau dikahwininya.

Seperti emas sudah tersepuh
Rupa seseoang perempuan yang putih kuning dan elok parasnya.

- Bagai beliung dengan asahan
Tidak pernah berpisah.

 - Bagai enau di dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing
Tiada kata sepakat dalam sesuatu perbincangan.

     -  Ibarat burung, mata terlepas badan terkurung
Tidak ada kemerdekaan atau kebebasan.

 Ibarat telur sesangkak, pecah sebiji pecah semua.
Orang yang bermuafakat akan setia antara satu dengan yang lain.

      - Laksana pohon kayu tiada berbual
Ilmu yang tidak diamalkan.

- Laksana mencari sungai yang tiada berhulu
Berpenat lelah tetapi sia-sia sahaja.

 - Laksana layang-layang salah teraju
Anak-anak muda yang menurut jalan yang salah.

Seperti embun di hujung rumput
Kasih sayang yang lekas hilang.

Umpama kiambang di air,akarnya tidak jejak ke bumi
Tidak tetap pada suatu tempat.

Umpama memerah nyiur, santan diambil hampas dibuang
Mendengar nasihat orang, pilihlah yang baik dan buanglah yang buruk.


Bandingan semacam


Bandingan ialah sejenis peribahasa yang maknanya dinyatakan dengan amat jelas dan terus terang, secara membandingkan sesuatu dengan sesuatu yang lain. Bandingan semacam menggambarkan sifat seseorang atau benda secara bandingan. Contoh bandingan semacam :
ü  Angkuh seperti merak
§  Putih seperti salji.
ü  Cepat seperti kilat
§  Garang seperti singa.
ü  Pucat seperti mayat.
§  Adil laksana hakim.
ü  Baik seperti malaikat.
§  Bebas seperti burung.
ü  Besar seperti gajah.
§  Bijak seperti pendeta.
ü  Bodoh seperti lembu.
§  Bulat seperti bola.
ü  Busuk seperti bangkai.
§  Cantik seperti bidadari.
ü  Cerah seperti siang.
§  Gebu seperti kapas.
ü  Gelap seperti malam.
§  Degil seperti keldai
ü  Gelojoh seperti langau.
§  Cerdik seperti kancil.
ü  Gagah seperti gergasi.
§  Halus seperti kuman.
ü  Kurus seperti lidi.
§  Hitam seperti arang.
ü  Harum seperti bunga.
§  Liat seperti getah.
ü  Lembut seperti sutera.
§  Licin seperti belut.
ü  Mahal seperti berlian.
§  Ligat seperti gasing.

ü  Luas seperti lautan.
§  Masam seperti cuka.

ü  Merdu bagai buluh perindu.
§  Panas seperti api.
ü  Pahit seperti hempedu.
§  Merah seperti darah.
ü  Rajin seperti semut.
§  Ringan seperti kekabu.
ü  Zalim seperti Firaun.
§  Sibuk seperti lebah.
ü  Tajam seperti sembilu

Pepatah

Pepatah merupakan suatu bentuk peribahasa yang terdiri daripada susunan kata-kata yang boleh dikatakan agak panjang. Terdapat rangkap dan pengulangan kata di dalamnya. Selain memiliki bahasa yang indah dan makna yang tepat dan padat, pepatah juga sering digunakan dalam masyarakat tempatan untuk menyatakan pengajaran yang hendak disampaikan. Contoh pepatah dengan maksudnya :

Ø  Ada udang di sebalik batu.
Ada sesuatu maksud yang tersirat di sebaliknya.

Ø  Belakang parang kalau diasah lagikan tajam.
Sebodoh manapun seseorang itu kalau dididik atau diberikan pelajaran, lama-lama dia akan pandai juga.

Ø  Biduk lalu kiambang bertaut.
Perselisihan faham keluarga tidak akan berpanjangan, lama-lama akan bercantum juga.

Ø  Genggam bara api biar sampai jadi arang.
Melakukan sesuatu kerja, biarlah bersungguh-sungguh.

Ø  Di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung.
Di mana kita berada, di situlah kita mesti tumpahkan taat setia.

Ø  Ukur baju di badan sendiri.
Perkara yang hendak dibuat, bandingkan dahulu dengan kebolehan diri sendiri.
Ø  Carik-carik bulu ayam, lama-lama bercantum juga.
Berselisih sesama keluarga akhirnya berbaik kembali.

Ø  Ditelan mati emak, diluah mati bapa.
Menghadapi sesuatu masalah yang sangat sulit ; berada dalam keadaan serba salah.

Ø  Hati gajah sama dilapah, hati kuman sama dicecah.
Susah senang dirasai bersama.

Ø  Ingat sebelum kena, jimat sebelum habis.
Selalu berwaspada dan berhati-hati.

Ø  Kalau kail panjang sejengkal, lautan yang dalam diduga jangan.
Jika mempunyai pengetahuan yang sedikit sahaja, janganlah hendak melawan orang yang lebih banyak pengetahuannya.

Ø  Kuman di seberang lautan nampak, gajah di depan mata tidak nampak.
Kesalahan orang lain biarpun kecil nampak, tetapi kesalahan sendiri tidak disedari.


Bidalan

Bidalan ialah peribahasa yang mempunyai maksud tersirat. 
Contoh bidalan dan maksudnya:

v  Alah bisa tegal biasa.
Pekerjaan yang sukar menjadi mudah jika selalu dilakukan.

v  Jauhari juga yang mengenal manikam.
Orang yang bijaksana juga yang dapat melakukan penilaian yang tepat.

v  Alah membeli menang memakai.
Barang yang bermutu memang mahal harganya, tetapi dapat dipakai lama.

v  Air yang tenang jangan disangka tiada buaya.
Orang yang diam jangan disangka pengecut.

v  Api makan sekam.
Perbuatan jahat atau dendam yang tersembunyi.

v  Ayam menang, kampung tergadai.
Keberuntungan yang tidak ada faedahnya.

v  Belum duduk sudah berlunjur.
Belum memperoleh sesuatu yang dikehendaki, sudah bergirang hati terlebih dahulu.

v  Berpatah arang berkerat rotan.
Memutuskan tali persahabatan.

v  Besar suap daripada mulut.
Belanja lebih besar daripada pendapatan.

v  Indah khabar daripada rupa.
Perkhabaran yang selalu dilebih-lebihkan daripada keadaan yang sebenar


Kata-kata hikmat

Kata hikmat mempunyai unsur pengajaran yang berguna. Antara contoh kata-kata hikmat adalah seperti berikut:

- Masa itu emas
Masa adalah sangat berharga.

Membaca jambatan ilmu.
Membaca dapat menambahkan pengetahuan.

- Bahasa menunjukkan bangsa.
Daripada pertuturan seseorang dapat kita ketahui jenis dan keturunannya.

Ilmu pelita hati.
Ilmu pengetahuan merupakan sinar yang dapat memberikan panduan kepada kehidupan manusia.

Kata dikotakan.
Janji atau kata-kata yang diberikan hendaklah ditunaikan.

Muafakat itu berkat.
Sesuatu kerja yang dilakukan melalui persetujuan bersama akan mendatangkan hasil yang baik.

Rajin dan usaha tangga kejayaan.
Sifat rajin dan bersungguh-sungguh akan menghasilkan kejayaan.

Keadilan tidak mengenal kawan.
Dalam mengadili sesuatu perkara, kita mesti bersikap adil. Yang bersalah tetap bersalah walaupun dia rakan karib kita.

Biar lambat asalkan selamat.
Jangan terburu-buru mengambil tindakan, sebaliknya merancanglah dengan baik sebelum melaksanakan sesuatu.

Bertangguh itu pencuri masa.
Melakukan kerja dengan bertangguh akan merugikan diri sendiri.

Sekian perkongsian ilmu daripada saya. Semoga dapat menjadi panduan dalam menjalankan proses pengajaran dan pembelajaran. Insyaallah..

No comments:

Post a Comment